Khamis, 3 Oktober 2013

INSTITUSI "SERI MAHARAJA PERBA@MAHARAJA PERBA" : ELIT TRADISIONAL ULU PAHANG (1592-1919M)


PENGENALAN
Dalam politik tradisional Pahang, INSTITUSI SERI MAHARAJA PERBA@MAHARAJA PERBA merupakan INSTITUSI PEMBESAR yang terpenting. Kepentingan ini bukan sahaja dilihat dari segi fungsi dan peranan institusi ini sebagai pendokong utama INSTITUSI RAJA MELAYU PAHANG zaman tradisional, tetapi juga disebabkan sejarahnya yang panjang sejak abad ke-16M hingga sekarang (abad ke-21M).

NEGERI PAHANG menerima pembaharuan politik apabila SULTAN ABDUL GHAFUR MUHIYUDDIN SYAH (Sultan Pahang XII, 1592-1614M - zuriat langsung RAJA MELAKA) naik takhta pada tahun 1592M. RAJA PAHANG itu buat kali pertamanya membuat perubahan terhadap struktur politik tradisional Pahang dengan mewujudkan jawatan ORANG BESAR BEREMPAT PAHANG, termasuk jawatan RAJA MUDA PAHANG yang bakal mewarisi TAKHTA PAHANG.

GELARAN ASAL
ORANG BESAR BEREMPAT PAHANG
Di bawah struktur pemerintahan SULTAN ABDUL GHAFUR MUHIYUDDIN SHAH (SULTAN PAHANG XII), gelaran ORANG BESAR BEREMPAT PAHANG (W. Linehan, 1973 : 201) adalah seperti berikut :

(1) SERI MAHARAJA PERBA di Kawasan JELAI
(2) MAHARAJA INDERA PUTERA di Kawasan TEMERLOH
(3) MAHARAJA INDERA PAHLAWAN di Kawasan CHENOR
(4) SYAHBANDAR di Kawasan PEKAN.

Jawatan ORANG BESAR EMPAT PAHANG yang asal ini disandang oleh JALUR KETURUNAN yang berbeza.  


PERUBAHAN GELARAN 
ORANG BESAR BEREMPAT PAHANG
Namun begitu, gelaran ORANG BESAR BEREMPAT PAHANG ini kemudiannya mengalami perubahan semasa Pahang semasa BENDAHARA SEWA RAJA TUN ALI IBNI TUN KORIS (1806-1857M) memerintah Pahang, di mana pangkal gelaran ORANG BESAR BEREMPAT PAHANG itu ditambah dengan frasa ORANG KAYA INDERA :

(1) ORANG KAYA INDERA MAHARAJA PERBA JELAI (ULU PAHANG)
(2) ORANG KAYA INDERA SEGARA (TEMERLOH)
(3) ORANG KAYA INDERA PAHLAWAN (CHENOR)
(4) ORANG KAYA INDERA SYAHBANDAR (PEKAN)

Perubahan gelaran ini secara tersuratnya merupakan sebahagian daripada pembaharuan SISTEM POLITIK TRADISIONAL PAHANG di bawah autoriti BENDAHARA SEWA RAJA TUN ALI IBNI TUN KORIS, tetapi secara tersiratnya bertujuan memartabatkan status RAJA BENDAHARA itu sendiri sebagai PEMERINTAH BEBAS daripada KERAJAAN JOHOR -RIAU-LINGGA-PAHANG sekaligus meletakkan status ORANG BESAR BEREMPAT itu lebih rendah berbanding BENDAHARA PAHANG yang sebelumnya mereka adalah "RAJA" dalam wilayah pemerintahan masing-masing.

Dari segi status dan peranannya, ORANG KAYA INDERA MAHARAJA PERBA JELAI atau MAHARAJA PERBA JELAI atau ringkasnya TOK RAJA merupakan ORANG BESAR PAHANG yang utama, dan paling berwibawa.  Sejak dari zaman SULTAN ABDUL GHAFUR MUHIYUDDIN SHAH (SULTAN PAHANG XII, 1692-1614M - zuriat langsung Raja Melaka) lagi hingga ke zaman SULTAN AHMAD AL-MUADZAM SHAH (SULTAN PAHANG MODEN I, 1882-1914M), SRI MAHARAJA PERBA@ORANG KAYA INDERA MAHARAJA PERBA JELAI adalah PEMBESAR UTAMA yang bertanggungjawab terhadap KELANGSUNGAN INSTITUSI RAJA PAHANG.  


GELARAN ASAL
ORANG BESAR BERLAPAN PAHANG
ORANG BESAR BERLAPAN PAHANG wujud secara formal dari segi bilangan dan gelarannya juga semasa BENDAHARA SEWA RAJA TUN ALI IBNI TUN KORIS (1806-1857M) mula-mula memerintah Pahang.

(1) ORANG KAYA SETIA WANGSA (LIPIS)
(2) ORANG KAYA SETIA PERKASA PAHLAWAN (SEMANTAN)
(3) DATO' AMAR SEGARA (SG. DURI)
(4) DATO' SETIA LELA (KERDAU)
(5) ORANG KAYA SETIA PENGGAWA (BERHALA GANTANG)
(6) DATO' SETIA MUDA (JELAI)
(7) DATO' RAJA HULUBALANG (TG BELAWAN)
(8) ORANG KAYA DEWA PAHLAWAN (TEMERLOH)

Pada zaman tradisional, pengwujudan jawatan ORANG BESAR BERLAPAN PAHANG (OBLP) adalah untuk membantu pemerintahan dan pentadbiran ORANG BESAR BEREMPAT PAHANG (OBEP), dan lazimnya CALON-CALON bagi mengisi jawatan OBLP perlu mendapat persetujuan terlebih dahulu daripada ORANG BESAR BEREMPAT PAHANG di wilayah masing-masing.

Dalam kes di ULU PAHANG misalnya, DATO' SETIA MUDA (JELAI)  secara tradisi calon penyandang jawatan ini terdiri daripada PUTERA SULONG (Autoriti Tradisional - Max Weber) SRI MAHARAJA PERBA@MAHARAJA PERBA @ORANG KAYA INDERA MAHARA PERBA JELAI@TOK RAJA atau PUTERA WARIS yang lebih berwibawa dan diperkenan oleh SULTAN atau RAJA pada masa itu. DATO' SETIA MUDA inilah nanti secara tradisinya akan menjadi pengganti MAHARAJA PERBA@TOK RAJA

Bagi jawatan ORANG KAYA LIPIS sebenarnya jika kita telusuri pada asalnya adalah daripada keturunan HANG SEMAUN@ISMAUN BIN HANG TUAH (KETURUNAN PAHLAWAN MELAKA), kemudian jawatan ORANG KAYA LIPIS itu diwarisi pula oleh keturunan TUN IBRAHIM BIN TUN MUHAMMAD BIN TUN UMAR BIN TUN HASSAN (TEMENGGONG MELAKA) BIN BENDAHARA TUN MUTAHIR (BENDAHARA MELAKA) BIN SERI NARA DIRAJA TUN ALI BIN MANI PURINDAN (RAJA PAHILI - RAJASTHAN - HINDI, akhirnya jawatan ini diwarisi oleh keturunan TOK KAYA TEH@WAN TEH BIN WAN DERIS BIN WAN HASSAN daripada MAHARAJA PERBA CLAN.


GEO-POLITIK PAHANG
SEBELUM 1592M

NEGERI PAHANG sebenarnya sudah wujud sebagai sebuah KERAJAAN MELAYU sebelum KERAJAAN MELAYU MELAKA diasaskan oleh PARAMESWARA (1402M).  PAHANG ketika itu dikenali oleh para pedagang, pelaut asing dan pribumi sebagai PONG FONG (Cina), PAHANG (Eropah), MAHANG (Orang Asli), INDERAPURA (Melayu-Klasik).   

Kisah mengenai PAHANG yang paling awal dapat dikesani melalui tulisan seorang pengarang dan pengembara berbangsa Arab bernama MAS'UDI (943M).  Antara lain beliau menyebut bahawa :

"............di Laut Kanderang (Laut China Selatan) ramai orangnya, termasuklah orang-orang yang disebut Panjab (Pahang) yang berambut ikal dan berbentuk badan yang ganjil rupanya. Mereka menggunakan perahu-perahu yang kecil, dan datang mengelilingi sebarang kapal yang tiba ke tempat mereka, dan mereka melepaskan sejenis anak panah yang ganjil dan beracun. Di antara tempat orang-orang ini ada lombong-lombong timah dan gunung-ganang yang mengandungi "perak" dan "emas" yang jarang-jarang dibongkar mengeluarkannya".

CHAU JAI-KUA (1225M) seorang pengembara Cina telah menyebut bahawa PONG FONG (PAHANG) sebagai salah sebuah "Negeri Naungan" SAN-FU-TSI (KERAJAAN SRIWIJAYA. 

SENARIO GEO-POLITIK ULU PAHANG
SEBELUM 1592M
Sebelum tahun 1592M, meskipun beberapa petempatan penting di Ulu Pahang sudah wujud di sekitar LEMBAH SG. LIPIS dan LEMBAH SG. JELAI, dan anak-anak SG. LIPIS dan anak-anak SG. JELAI, tetapi-tempat tersebut masih didominasi oleh MASYARAKAT ORANG ASLI yang diketuai oleh TOK BATIN. 

Secara teoritisnya, sebelum tahun 1592M, belum ada elit tradisional Melayu bertaraf ORANG BESAR atau "ORANG KAYA" yang menjadi "WAKIL SULTAN" di ULU PAHANG.  Ketika itu, beberapa petempatan di LEMBAH SG. JELAI seperti :  ULU JELAI, SELINSING, KUALA SG. JELAI KECIL, SERAU, TELOM, KUALA MEDANG, KETUYONG, KUALA SG. KOYAN, TG. GAHAI, BERTANG, BUKIT KOTA, BUKIT BETONG, TELANG, RELONG, BERCANG, ULU TERIS, GUA, PAGAR SASAK, KG. MELAKA, KECAU TUI, BATU NERING, PADANG TENGKU, PASIR MAS, KUALA LANAR, SIBAR, MELA, dan KUALA TEMBELING, dan juga  di LEMBAH SG. LIPIS seperti : TG. LIPIS, KG. PAGAR, PENJOM, KG. LALANG, BENTA, BUDU, TG. BESAR, JERAM BESU, TERSAN, BATU TALAM, dan BATU MALIM penghuninya majoriti terdiri daripada ORANG ASLI, di samping sebilangan kecil ORANG MELAYU keturunan Melaka, dan ORANG MELAYU keturunan Minangkabau.  

Meskipun begitu, beberapa kajian sejarawan menunjukkan bahawa sebelum tahun 1592M di LEMBAH SG. JELAI dan LEMBAH SG. LIPIS telah ada BANGSAWAN MELAYU yang telah mengasaskan PETEMPATAN MELAYU bercorak "KEKELUARGAAN" seperti di SELINSING (ULU JELAI), SEMPUT (SG. TANUM), KG. MELAKA (KECAU), BAMA (RELONG), PADANG TENGKU (PADANG TENGKU), YONG BELIK (MUKIM LIPIS), KG. PAGAR (PENJOM), JERAM BESU (BENTA), dan KG. BUDU (BENTA).  Petempatan ini bukan sahaja berhampiran dengan sungai dan tanah yang subur, tetapi sebahagian tempat ini amat kaya dengan hasil bumi seperti "EMAS". Di SELINSING, SERAU, KECAU, PENJOM, dan BUDU pada zaman dahulukalanya, "EMAS" dikatakan dapat dilihat dipermukaan tanah atau pasir. Hatta, hingga sekarang pun, "SELINSING GOLD-MINE" dan "PENJOM GOLD-MINE" meskipun pemiliknya silih-berganti, tetapi lombing emas ini masih beroperasi, dan menjadi sumber pendapatan Negeri Pahang.

Secara umum, beberapa sumber menunjukkan bahawa BANGSAWAN MELAYU yang mengasaskan PETEMPATAN MELAYU di LEMBAH SG. JELAI dan LEMBAH SG. LIPIS ini terdiri daripada BANGSAWAN MELAYU MELAKA, BANGSAWAN MELAYU PERAK dan BANGSAWAN MELAYU MINANGKABAU.  Wallahualam.


WAKIL MUTLAK RAJA PAHANG 
DI ULU PAHANG
Pelantikan ORANG BESAR BEREMPAT PAHANG bagi SULTAN ABDUL GHAFUR MUHIYUDDIN SHAH amat signifikan di awal pemerintahannya (1592), terutama bagi membendung kebanjiran orang-orang Minangkabau yang masuk ke Pahang, dan ketidakupayaan baginda untuk menstabilkan gelombang politik, dan kesukaran mentadbir Negeri Pahang yang sangat luas.

Justeru, bermula era pemerintahan Sultan Abdul Ghafur Muhiyuddin Shah (Sultan Pahang XII - zuriat langsung Raja Melaka) - HILIR PAHANG berada di bawah autoriti Sultan Pahang yang berpusat di Kuala Pahang (Pekan), yakni SULTAN ABDUL GHAFUR MUHIYUDDIN SHAH,  manakala ULU PAHANG berada di bawah autoriti SERI MAHARAJA PERA@MAHARAJA PERBA yang juga menjadi "WAKIL MUTLAK" Baginda Sultan Pahang.

Inilah asalnya "hubungan diraja" antara RAJA PAHANG-SERI MAHARAJA PERBA.  Hubungan ini berterusan di abad-abad kemudiannya hingga sekarang (Abad ke-16-21M) meskipun ada beberapa kes salah faham yang terpencil berlaku dalam perjalanan sejarah.  Meskipun begitu, dalam kerangka pemerintahan negeri Pahang sejak perhubungan itu bermula, SERI MAHARAJA PERBA@MAHARAJA PERBA@ORANG KAYA INDERA MAHARAJA PERBA JELAI@TOK RAJA tetap bertaraf ORANG BESAR BEREMPAT PAHANG yang UTAMA.   

Di zaman tradisional (Era PraBritish), SERI MAHARAJA PERBA dianggap oleh masyarakat  tempatan dalam Wilayah Pemerintahannnya sebagai "RAJA" - di ULU PAHANG sebab mereka perlu patuh kepada ORANG BESAR JELAI itu seperti mereka patuh kepada  Protokol Diraja. Paling tidak, INSTITUSI SERI MAHARAJA PERBA di Ulu pahang mempunyai "Pengikut Setia" terdiri daripada kaum kerabat dan para pahlawan berjumlah 100 orang pada setiap masa. Benteng Pertahanan Jelai ini bukan sahaja berfungsi mempertahankan ancaman dalaman dan luaran, tetapi juga untuk memberi bantuan dan perlindungan keapada Raja Pahang apabila diperlukan. 

Justeru, hubungan diraja SERI MAHARAJA PERBA@TOK RAJA dan RAJA PAHANG telah berlangsung sejak dahulukala lagi hatta hingga sekarang. Hubungan mereka ini adalah hubungan sejarah yang panjang, dan mereka sebenarnya boleh diangkat sebagai PENGASAS POLITIK TRADISIONAL PAHANG. Hal ini disebabkan SERI MAHARAJA PERBA@MAHARAJA PERBA menjadi rujukan utama PEMBESAR PAHANG, hatta RAJA PAHANG sekalipun memerlukan nasihat beliau dalam membuat keputusan politik.  Dalam era British di Pahang, British melihat SERI MAHARAJA PERBA@MAHARAJA PERBA@ORANG KAYA INDERA MAHARAJA PERBA JELAI, orang yang paling penting dan utama untuk diperlemahkan, dan kemudiannya jika ini berjaya, maka SULTAN dan PEMERINTAH PAHANG ketika itu lebih mudah diuruskan.

SERI MAHARAJA PERBA  I (1592-1638M)
Jawatan SERI MAHARAJA PERBA mula diinstitusikan pada tahun 1592 sebaik sahaja SULTAN ABDUL GHAFUR MUHIYUDDIN SHAH mewujudkan jawatan tersebut. Di ULU PAHANG, khasnya di LEMBAH JELAI, elit tradisional yang kemudiannya disebut sebagai SERI MAHARAJA PERBA I ini sudah memerintah dan mentadbir Ulu Pahang atas kapasiti seorang "PENGHULU" (KETUA PUAK) bergelar DATO'. Kedatangan SERI MAHARAJA PERBA I bergelar Dato' itu dipercayai tarikhnya lebih awal, tetapi ia dipercayai berlaku sewaktu SULTAN ALI JALLA ABDUL JALIL II (Sultan Johor-Riau V - Raja Agong) memerintah EMPAYAR-JOHOR-RIAU, termasuk Pahang, dan sewaktu SULTAN ABDUL KADIR (Sultan Pahang X, 1580-1590M) memerintah Pahang.  Ketika itu, LEMBAH JELAI masih di bawah autoriti SULTAN JOHOR-RIAU, dan bukan di bawah autoriti SULTAN PAHANG. Sultan Abdul Kadir meskipun sebagai Sultan Pahang, tetapi autoritinya terhad kepada sekitar KotaRaja di Pekan, dan Hilir Pahang (sepanjang Sg. Pahang, tidak termasuk Sg. Jelai). Pelantikan sebagai PENGHULU secara langsung oleh SULTAN JOHOR-RIAU V itu terhadap SERI MAHARAJA PERBA I di Jelai memberi autoriti kepada beliau "memerintah" dan "mentadbir" kawasan ULU PAHANG, terutama LEMBAH JELAI yang kaya dengan "khazanah rimba", "khazanah sungai", dan "emas" itu secara MUTLAK.

Dengan keizinan SULTAN JOHOR-RIAU, SERI MAHARAJA PERBA I dikatakan datang dari MINANGKABAU bersama keluarganya 4 bersaudara - 3 lelaki dan seorang perempuan, serta beberapa keluarga SUKU MINANGKABAU ke JOHOR, dan kemudian telah memasuki LEMBAH JELAI melalui ULU MUAR, PENARIKAN, SG. BERA, TG. LINDUNG (Kuala Tembeling), lalu menyusur SG. JELAI menghala ke ULU JELAI dengan syarat beliau hendaklah menyerahkan UFTI dalam bentuk "JONGKONG EMAS" setiap tahun ke ISTANA JOHOR, dan dan ikatan perjanjian ini hendaklah berlaku secara tradisi selama-lamanya antara DATO' PENGHULU@ SERI MAHARA PERBA I, dan WARIS GANTI dengan SULTAN JOHOR-RIAU..

Diperkirakan bahawa pelantikan SERI MAHARAJA PERBA I sebagai ORANG BESAR EMPAT PAHANG itu dapat dijustifikasikan kerana pada waktu itu SULTAN ABDUL GHAFUR MUHIYUDDIN SHAH lebih menyukai ORANG MELAYU MINANGKABAU sebagai "HEAD-MAN" bagi tujuan mengawal kebanjiran ORANG MINANGKABAU memasuki PAHANG lewat penghujung abad Ke-16M. Sebagai elit tradisional berketurunan "BANGSAWAN MINANGKABAU", dan "WAKIL MUTLAK' Sultan Pahang, SERI MAHARAJA PERBA I@MAHARAJA PERBA menggunakan gaya gelaran "ENGKU" (SEMI-ROYAL) bagi dirinya, dan hubungan antara beliau dan rakyat jelata dibatasi oleh protokol mirip adat-istiadat diraja di mana rakyat jelata perlu "MENJUNJUNG DULI" (lebih ringkas) apabila mereka mengadap ORANG BESAR JELAI ini.  Protokol "menjunjung duli"ini dipercayai bermula sejak SERI MAHARAJA PERBA I hingga kepada DATO' MAHARAJA PERBA JELAI WAN MUHAMMAD BIN DATO' WAN IDRIS (OKIMPJ KE-6).

ORANG BESAR JELAI ini juga mempunyai beberapa ALAT KEBESARAN UTAMA yang menggambarkan kedudukannya sebagai ORANG KAYA dan PEMBESAR UTAMA PAHANG seperti :

ALAT KEBESARAN UTAMA OKIMPJ

RAJA ULU PAHANG ini pada zaman tradisional mempunyai beberapa alat kebesaran seperti berikut :
  • BENDERA SERI MAHARAJA PERBA@ORANG KAYA INDERA MAHARAJA PERBA JELAI
FOTO 1 :
BENDERA HITAM BERMOTIF BURUNG MERPATI
    
  • SEBILAH KERIS 
  • TIGA PUCUK MERIAM
Sejak dari asal lagi, SERI MAHARAJA PERBA@MAHARAJA PERBA mempunyai WILAYAH PEMERINTAHAN dan PENTADBIRAN yang cukup luas : bermula dari TG. LINDUNG (JERANTUT) menyusur LEMBAH SG. JELAI kiri kanan mudik hingga ke ULU JELAI, dan anak-anak sungai yang bersempadanan dengan PERAK dan KELANTAN dengan mengecualikan LEMBAH SG. LIPIS dan LEMBAH SG. TEMBELING.  .

Meskipun SERI MAHARAJA PERBA I terikat dengan PROTOKOL DIRAJA JOHORRIAU, tetapi dalam waktu yang sama beliau perlu juga mengadap SULTAN ABDUL KADIR di akhir pemerintahannya (1590M), dan berlanjutan ke era SULTAN AHMAD (Sultan Pahang XI, 1590-1591M), dan akhirnya ke era SULTAN ABDUL GHAFUR MUHIYUDDIN SHAH (Sultan Pahang XII, 1592-1614M) di PEKAN (PAHANG) untuk mengemukakan persembahan dan menjunjung duli.

Bagi memperkukuhkan pemerintahan dan pentadbiran negeri, SULTAN ABDUL GHAFUR MUHIYUDDIN SHAH telah memperkenalkan KANUN PAHANG yang mana tanggungjawab ORANG BESAR-ORANG BESAR dan RAKYAT JELATA termaktub dengan jelas. Menurut KANUN PAHANG, selain mesti patuh kepada ALLAH swt, tanggungjawab EORANG BESAR EMPAT PAHANG perlu MEMATUHI DAN MENYEMPURNAKAN TITAH PERINTAH SULTAN.


SERI MAHARAJA PERBA 1@MAHARAJA PERBA di JELAI ini bukan sahaja terpaksa akur kepada SULTAN JOHOR-RIAU yang menjadi RAJA AGONG EMPAYAR JOHOR-RIAU ketika itu, tetapi dalam waktu yang sama beliau perlu menyusuri SG. JELAI dari LEMBAH JELAI menghilir SG. PAHANG   dengan "PERAHU KAJANG MAGONG" (PERAHU BESAR) dengan menggunakan khidmat rakyat-jelata kampung demi kampung sepanjang SG. JELAI, dan kemudiannya sepanjang SG. PAHANG sambil memukul GENDANG TOK RAJA untuk mengadap SULTAN ABDUL GHAFUR MUHIYUDDIN SHAH (SULTAN PAHANG XII)  di  PEKAN. Budaya menghilir dan mudik sungai ini berlaku sejak zaman berzaman bermula daripada SERI MAHARAJA PERBA I@MAHARAJA PERBA sehingga ke zaman DATO' MAHARAJA PERBA JELAI WAN MUHAMMAD DATO' WAN IDRIS (OKIMPJ kE-6).  Hal ini disebabkan SG. PAHANG dan SG JELAI merupakan LEBUHRAYA UTAMA di zaman tradisional hingga ke era praBritish (1882M).

Jadi, waktu itu (1592-1614M), SERI MAHARAJA PERBA@MAHARAJA PERBA mempunyai autoriti memerintah ULU PAHANG sekaligus "WAKIL MUTLAK SULTAN PAHANG", manakala SULTAN ABDUL GHAFUR MUHIYUDDIN SHAH mempunyai autoriti memerintah HILIR PAHANG.  Itulah riwayat yang seadanya bagi menstabilkan politik Pahang dalam era itu.
    
SERI MAHARAJA PERBA II
@MAHARAJA DALAM@RAJA MUDA
@WAN MUHAMMAD (1663-1688M)
Sumber tradisi menyatakan bahawa pada satu waktu, kawasan Ulu Jelai termasuk SELINSING, petempatan SERI MAHARAJA PERBA 1, keluarga, pengikut setia, dan rakyat jelata telah diserang "penyakit hawar".  Ramai yang telah terkena penyakit ini dan meninggal dunia. Berikutan dengan peristiwa serangan hawar ini, maka SERI MAHARAJA PERBA 1  yang agak lanjut usia itu (terlalu tua) bersama kaum keluarga, dan para pengikut setia Orang Besar itu mau tidak mau terpaksa meninggalkan kawasan yang terpencil ini menghilir Sg. Jelai dari Kuala Sg. Jelai Kecil melalui beberapa buah kampung seperti Kuala Medang, Pulau Badak, Tg. Gahai, Bertang sehingga ke muara SG. TANUM (ANAK SG. JELAI). 

Dari muara Sg. Tanum lalu SERI MAHARAJA PERBA 1 dan keluarga, serta pengikutnya menghala ke hulu sehingga ke pertengahan Sg. Tanum, lalu berhenti dan membuat petempatan di satu tempat yang kemudiannya dinamakan SEMPUT. Memandangkan SERI MAHARAJA PERBA 1 sudah terlalu tua, lalu PUTERA SELINSING@RAJA MUDA itu diperkenankan oleh SERI MAHARAJA PERBA 1 dan 3 ORANG BESAR BEREMPAT PAHANG yang lain sebagai waris ganti, dan kemudiannya mendapatkan keabsahan daripada Sultan Johor-Riau. 

 "Maka dia (Seri Maharaja Perba I) sudahlah tua, maka muafakatlah orang yang empat (Orang Besar Berempat Pahang).  Maka betullah (berkenanlah) kepada orang yang bertiga itu (Maharaja Indera Putera, Maharaja Indera Pahlawan dan Syahbandar), maka mengadaplah (Putera Selinsing@Raja Muda) kepada Raja Johor, dan di (per)sembahkanlah orang yang dapat di Selinsing itu (Putera Selinsing@Raja Muda) akan ganti Seri Maharaja Perba itu, dan telah betul (diperkenan) kepada Raja Johor, digelarnya (Putera Selinsing@Raja Muda) itu MAHARAJA DALAM, itulah adanya."

 Linehan, A History of Pahang, (1973 : 201)

Maka rasmilah RAJA MUDA@MAHARAJA DALAM ganti SERI MAHARAJA PERBA 1 yang terlalu tua itu. Berdasarkan usia lanjut Orang Besar Jelai itu, maka peristiwa pelantikan RAJA MUDA@MAHARAJA DALAM sebagai SERI MAHARAJA PERBA II dianggarkan berlaku sekitar tahun 1663M. Beberapa tahun sesudah itu, berlakulah suratan takdir di mana SERI MAHARAJA PERBA I kembali ke Rahmatullah. Walau bagaimanapun, MAKAM ORANG KAYA ini belum dapat ditemui meskipun dipercayai allahyarham telah bersemadi di  SEMPUT (Sg. Tanum).

RAJA MUDA@MAHARAJA DALAM telah dijodohkan dengan anak gadis TUN BANDAN (PATANI), yakni anak saudara kepada SERI MAHARAJA PERBA 1@MAHARAJA PERBA.    Melalui perkahwinan intra-famili bermakna SERI MAHARAJA PERBA 1@MAHARAJA PERBA masih dapat melanjutkan pewaris ganti di kalangan jalur kerabatnya sendiri. Daripada zuriat inilah lahir beberapa generasi waris ganti di abad-abad kemudiannya hingga sekarang.  TUN BANDAN PATANI sebenarnya putera kepada TUN IBRAHIM BIN TUN MUHAMMAD (BANGSAWAN MELAYU MELAKA - susurgalurnya TUN MUHAMMAD BIN TUN UMAR BIN TUN HASSAN TEMENGGUNG BIN BENDAHARA TUN MUTAHIR BIN SERI NARA DIRAJA TUN ALI IBNI BAGINDA MANI PURINDAN@RAJA PAHLI - HINDI).  TUN IBRAHIM dan putera-puteranya : TUN BANDAN, TUN BANDU@TUN SULAIMAN, TUN BAHAR, TUN ABDUL JALIL, TUN SIAM, TUN DERHAKA, dan TUN DEWI telah menetap di merata tempat di LEMBAH SG. Lipis.  TUN IBRAHIM pada mulanya tinggal di Johor, tetapi telah berhijrah ke Patani, ke Terengganu, dan akhirnya ke Pahang - menyusur Sg. Pahang, Sg. Jelai, dan akhirnya beliau  telah membuka satu petempatan yang hari ini dikenali sebagai TG. LIPIS (muara Sg. Lipis). Jika hal ini benar, maka keluarga TUN IBRAHIM-SERI MAHARAJA PERBA@MAHARAJA PERBA telah bersemenda, dan bukan sahaja menjadikan kumpulan kekerabatan (clan) yang lebih besar, tetapi generasi yang terkemudian merupakan campuran darah BANGSAWAN MINANGKABAU-BANGSAWAN MELAYU MELAKA.   

Hasil perkahwinan RAJA MUDA@MAHARAJA DALAM dengan anak perempuan Tun Bandan (Patani) itu lahirlah seorang putera yang diberi nama WAN ISMAIL@WAN SARAH. Dipercayai bahawa sewaktu WAN ISMAIL@WAN SARAH lahir, ORANG BESAR JELAI ini masih tinggal di SEMPUT (Sg. Tanum).   Waktu itu, LEMBAH SG. TANUM masih asli penuh hutan-belantara.

Bagi Raja Muda@Maharaja Dalam, SG. TANUM adalah LEBUHRAYA UTAMA dan "GATE-WAY" ke Kelantan. Ketika itu, aktiviti utama ialah BERBURU BINATANG, MENCARI HASIL HUTAN, dan MENCARI KHAZANAH SUNGAI. Adakalanya RAJA MUDA@MAHARAJA DALAM, dan pengikut setianya tidak dapat pulang berhari-hari kerana jauh atau sebab-sebab lain.

Diriwayatkan juga orang yang empunya cerita bahawa RAJA MUDA@MAHARAJA DALAM pada suatu ketika pernah sesat sewaktu berburu di hutan di BUKIT BERENTING berhampiran SEMPUT.  Pada sebelah malamnyaRAJA MUDA@MAHARAJA DALAM telah bermimpi didatangi PUTERI BUNIAN BUKIT BERENTING, dan bukan PUTERI ASLI seperti yang ditafsirkan oleh Linehan.  Sesetengah versi oral menyebut puteri itu bernama PUTERI RATNA SARI.  

Dalam mimpi itu, PUTERI BUNIAN itu memberitahu RAJA MUDA@MAHARAJA DALAM bahawa dia dan pengikutnya akan dapat keluar dari hutan belantara jika dia sanggup mengahwin puteri itu. Tidak lama setelah disanggupi oleh RAJA MUDA@MAHARAJA DALAM akan kehendak PUTERI BUNIAN itu, maka dapat mereka keluar dari hutann belantara itu lalu pulang ke SEMPUT.  Mengikut yang empunya cerita, PUTERI BUNIAN itu turut dibawa oleh RAJA MUDA@MAHARAJA DALAM ke kediamannya di SEMPUT.  Diperkirakan sewaktu RAJA MUDA@MAHARAJA DALAM mengahwini PUTERI BUNIAN itu, isteri pertama ORANG BESAR JELAI ini telah melahirkan puteranya yang bernama WAN ISMAIL@WAN SARAH.

SERI MAHARAJA PERBA III
DATO' (ENGKU) WAN ISMAIL@WAN SARAH 
(1688-1699M)

SERI MAHARAJA PERBA IV
DATO' (ENGKU) WAN MUHAMMAD DATO' (ENGKU) WAN ISMAIL (1699-1797M)

ORANG KAYA INDERA MAHARAJA PERBA JELAI V
DATO' (ENGKU) WAN IDRIS DATO' (ENGKU)  WAN MUHAMMAD (1797-1882M)

ORANG KAYA INDERA MAHARAJA PERBA JELAI VI
DATO' (ENGKU) WAN MUHAMMAD DATO' (ENGKU)  WAN IDRIS (1882-1919M)
FOTO 2 : 
Dato' OKIMPJ Wan Muhammad Dato' OKIMPJ Wan Idris

ORANG KAYA INDERA MAHARAJA PERBA JELAI VII
DATO' (ENGKU) WAN CHIK DATO' (ENGKU) WAN MUHAMMAD (1919M)
 Foto 3 :
Dato' OKIMPJ Wan Chik Dato' OKIMPJ Wan Muhammad


ORANG KAYA INDERA MAHARAJA PERBA JELAI VIII
DATO' (ENGKU) WAN TANJUNG DATO' (ENGKU) WAN MUHAMMAD (1919-1935M)
9
Foto 4 : 
Dato' OKIMPJ Wan Tanjung Dato' OKIMPJ Wan Muhammad

ORANG KAYA INDERA MAHARAJA PERBA JELAI IX
DATO' (ENGKU) WAN ALI DATO' (ENGKU) WAN CHIK 
(1935-1957M)
Foto 5 :
Dato' OKIMPJ Wan Ali Dato' OKIMPJ Chik

ORANG KAYA INDERA MAHARAJA PERBA JELAI X
DATO' (ENGKU) WAN IBRAHIM DATO' (ENGKU) WAN TANJUNG (1957-1991M)
Foto 6 :
Dato' OKIMPJ Wan Ibrahim Dato' OKIMPJ Wan Tanjung

ORANG KAYA INDERA MAHARAJA PERBA JELAI XI
DATO' (ENGKU) WAN BADIUZZAMAN DATO' (ENGKU) WAN ALI (1991-2003M)

ORANG KAYA INDERA (MAHARAJA) PERBA JELAI XII
DATO' (ENGKU) WAN ABDUL RAHMAN DATO' (ENGKU) WAN IBRAHIM (2008 HINGGA SEKARANG)

Bibliografi :
A.C. Milner, 1982. Kerajaan : Malay Political Culture on The Eve of Colonial Rule. Arizona Uni. Press.
Aruna Gopinath, 1993. Sejarah Politik Pahang 1880-1935. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Buyong Adil, 1972. Sejarah Pahang. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hj. Mohd Salleh Husin - generasi ke-11 keturunan langsung TUN IBRAHIM - Kg. Koi, Damak, 27000, Jerantut, Pahang DM.
J.M. Gullick, 1970. Sistem Politik Bumiputera Tanah Melayu Barat, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Jang Aisjah Muttalib, 1972. Pemberontakan Pahang 1891-1895. Kelantan : Pustaka Aman Press
Kalthum Jeran, 1996. Hikayat Pahang. Kuala Lumpur : Fajar Bakti.
Norazit Selat, 1996. Pahang : Dahulu dan Sekarang. Kuala Lumpur : Muzium Malaysia
W. Linehan, 1973. A History of Pahang. Kuala Lumpur. MBRAS (Reprinted)


1 ulasan: